Monday 1 April 2013

Video Kayuhan Ke Ipoh Station


Video Kayuhan Basikal Klasik Ke Ipoh Station Siri 2 from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Puchong Classic Bicycle Club beserta usaha sama Budiman Berbasikal Klasik dengan rendah dirinya mempersembahkan penghasilan video aktiviti riadah kayuhan basikal klasik secara kecilan ke Ipoh Station Antique Cafe untuk pertunjukan "Vintage Toys Exhibition" bersempena ulang tahun pembukaannya yang ke lima tahun. Lokasi perjalanan kayuhan adalah di sekitar Puchong Prima dan Bandar Baru Puchong. Berlangsung pada hari Sabtu, 30 Mac 2013.

Sepasang burung nampak serasi,
Atas dahan itulah burung puyuh,
Semoga mendapat aspirasi,
Agar terus maju berkayuh.

Sunday 31 March 2013

Laporan Kayuhan Basikal Klasik Ipoh Station

Nama Acara : Kayuhan Basikal Klasik ke Ipoh Station
Anjuran : Puchong Classic Bicycle Club
Tarikh : 30 Mac 2013 (Sabtu)
Lokasi : Puchong Prima dan Bandar Baru Puchong


Seramai enam ahli dan rakan taulan telah menjayakan aktiviti kayuhan basikal klasik pada kali ini. Tujuan kayuhan dilakukan adalah untuk menyaksikan pertunjukan permainan antik yang dianjurkan oleh Ipoh Station Antique Cafe bersempena ulang tahun penubuhannya yang ke lima. Restoran ABC di Puchong Prima menjadi lokasi untuk berkumpul. Jarak perjalanan dari Restoran ABC menuju ke Ipoh Station adalah kurang lebih lapan kilometer pergi balik. Manakala tempoh masa perjalanan dengan kayuhan santai memakan masa sekitar 30 minit sehala. Turut menyertai PCBC dalam aktiviti ini adalah saudara Aznor beserta anaknya adik Azim yang datang dari Cheras. Mereka dikenali oleh para pengayuh basikal klasik dengan kerancakan kayuhan mereka ke KLCC pada waktu malam. 

Kayuhan berkonvoi menuju ke Ipoh Station berjalan dengan selamat dan lancar dengan sesi bergambar dilakukan seketika di perkarangan TESCO sebelum tibanya ke Ipoh Station. Setibanya di Ipoh Station para tetamu dipertontonkan dengan pelbagai gaya dan jenis permainan yang rata-rata berusia antara 70 ke 80an. Pada waktu itu juga kami telah bertemu dengan saudara Ikhwan yang kebetulan berkunjung ke Ipoh Station bersama keluarganya. Setelah menghabiskan masa sekitar sejam lebih di sana maka kami pun berangkat pulang ke lokasi asal berkumpul di ABC Puchong Prima.

Secara keseluruhan, acara kecilan ini telah berjalan dengan baik. PCBC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara terus mahupun secara tidak langsung dalam menjayakan aktiviti kayuhan ini. Ini merupakan aktiviti yang ke dua digiatkan oleh PCBC semenjak ia diwujudkan. Semoga apa yang diusahakan ini akan memberikan persepsi positif terhadap perkembangan aktiviti berbasikal klasik terutamanya di sekitar Puchong.

Singgah perkarangan Tesco untuk sesi gambar.
Deretan pokok rhu bagai suasana di Fraser Hill.
Bergambar dengan aksi kasual.
Mengeteh di Ipoh Station.
Bersama saudara Ikhwan sebelum berangkat pulang.
Gambar aksi kayuhan.



Pergi ke pasar mencari penyapu lidi,
Membeli bersama lesung batu,
Terima kasih daun keladi,
Semoga bersua dilain waktu.

Sunday 10 March 2013

Pengenalan Kepada Daerah Puchong

Seperti yang diketahui umum, nama Puchong Bicycle Classic Club jelas sekali diambil sempena  kawasan penempatan yang diduduki. Umumnya pasti ramai yang tahu akan kedudukan lokasi daerah Puchong. Tapi mungkin ramai yang tidak mengenali latar belakang daerah puchong. Oleh itu penulis mengambil kesempatan ini untuk berkongsi artikel tentang sejarah daerah Puchong. Sumber ini dipetik dari laman Wikipedia.

Tahukah anda bahawa Puchong sebenarnya mempunyai dua nama samaran; iaitu Bandar Bunga Kenanga dan Bandar Bunga Semarak Api. Manakala moto-moto bagi bandar Puchong pula ialah Perbandaran Bistari, Kota Niaga dan juga Kediaman Idaman.

Sejarah Puchong

Puchong telah wujud sekurang-kurangnya 120 tahun dahulu. Contohnya dikatakan Kuil Hindu di Puchong Batu 12 mempunyai sejarah selama 120 tahun. Manakala bagi SRK(C) Han Ming di Puchong Batu 14, ia telah disahkan mula beroperasi sejak tahun 1921 manakala SRJK (C) Sin Ming di Puchong Batu 17 mula beroperasi pada tahun 1934. Terdapat juga Sekolah Melayu yang awal dibina di Puchong iaitu Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti yang mula dibuka pada tahun 1946.

Puchong ialah satu kawasan pinggir bandar yang berada di dalam lingkungan metropolitan Kuala Lumpur - Lembah Klang. Pada asasnya kawasan Puchong merujuk kepada kawasan yang sejajar dengan Jalan Puchong, iaitu sebatang jalan raya yang menghubungkan Kuala Lumpur - Jalan Klang Lama di utara dengan Daerah Sepang di selatan. Dari segi pentadbiran, Puchong adalah di bawah lingkungan Daerah Petaling, dan ditadbir oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Puchong Selatan di bawah lingkungan Daerah Sepang dan ditadbir oleh Majlis Perbandaran Sepang. Puchong dihubungkan dengan bahagian lain Lembah Klang melalui Lebuhraya Damansara-Puchong dan Lebuhraya Sungai Besi.

Puchong terbahagi kepada 2 kawasan Parlimen iaitu kawasan parlimen Puchong yang mengandungi 2 kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Kawasan Kinrara dan Seri Serdang dan Parlimen Sepang yang merangkumi Puchong Selatan yang diletakkan dalam Dewan Undangan Negeri kawasan Dengkil.

Puchong pada 1980-an

Ekonomi Puchong pada era ini adalah sangat bergantung kepada industri perlombongan (timah & pasir), penorehan getah dan juga pemprosesan serbuk kari. Pada zaman ini pola penempatan Puchong adalah berbentuk sejajar dengan Jalan Puchong. Penempatan ini ditandai dengan "Batu". Penempatan di kawasan Puchong pada zaman itu adalah seperti berikut:
  • Batu 6
    Sekarang kawasan ini merujuk kepada kawasan di sebelah jambatan yang melintasi Lebuhraya Shah Alam, sebelah Kuala Lumpur.
  • Batu 8
    Sekitar kawasan Kinrara dan Taman Pak Siong.
  • Batu 9
    Merupakan kawasan pusat bagi Puchong, dikenali juga sebagai Bandar Puchong Jaya. Puchong Jaya merupakan salah satu susur keluar ke Lebuhraya Puchong-Sungai Besi , Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).
  • Batu 11
    Kini masih wujud, merujuk kepada Kampung Melayu berhampiran "Lurah Besar" Puchong, dekat dengan Bandar Puchong Jaya. Pada tahun 60an hingga 70an terdapat sebuah kawasan penternakan buaya di Batu 11 Puchong dan pada tahun 70an juga terdapat satu banjir besar telah melanda Puchong. Akibat dari peristiwa banjir tersebut, kebanyakkan buaya-buaya yang berada di kawasan Batu 11 Puchong telah terlepas dan mendiami kebanyakkan sungai, lombong dan juga tasik di sekitar Puchong. Ini termasuk juga 'Buaya Puchong' yang mendiami tasik di Kampung Sri Aman. Ramai warga setempat mengatakan yang buaya tersebut terlepas semasa banjir besar pada tahun 70an dan telah mendiami tasik berkenaan.
  • Batu 12
    Pada masa dulu ia adalah pusat bagi penduduk Puchong. Balai polis Puchong asal terletak di sini tetapi sekarang telah dipindahkan ke Bandar Puchong Jaya. Terdapat juga beberapa buah rumah kedai namun telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Damansara Puchong. Kawasan ini sekarang lebih dikenali sebagai Bandar Puteri Puchong. Tepat pada selekoh besar LDP, terdapat kilang traktor. Sekarang pekan Puchong Batu 12 cuma tinggal sebuah Masjid, dan juga rumah JKR.
  • Batu 13
    Merujuk kepada penempatan di tepi Sungai Kelang. Di sini juga ada sebuah kilang kari iaitu kilang Kari Cap Burung. Terdapat 6 buah kampung di Batu 13 Puchong iaitu Kampung Baru Sri Puchong, Kampung Sri Langkas, Kampung Sri Langkas Tambahan, Kampung Sri Aman, Kampung Tengah dan Kampung Kenangan. Diakhir tahun 80an terdapat satu peristiwa buruk dimana sebuah kapal korek dikawasan perlombongan di puchong telah terbalik, ia berlaku di Batu 13 yang mana sekarang dipanggil sebagai Puchong Permai. 'Buaya Puchong' yang dahulunya menjadi tajuk besar didalam surat khabar juga berasal dari sebuah tasik semulajadi di Kampung Sri Aman Batu 13 Puchong.
  • Batu 14
    Merupakan penempatan tradisi di kawasan Puchong yang dipelihara dengan lengkap. Terkenal dengan hubungan kaum yang baik antara kaum Melayu-Cina-India-Orang Asli (Puak Rasau). Selain itu tempat ini juga terkenal dengan masakan Hakka Yong Tau Fu.
  • Batu 16
    Sebuah penempatan estet yang telah dibangunkan menjadi kawasan perumahan baru iaitu Bandar Bukit Puchong 1 dan Bandar Puchong Utama.
  • Batu 17
    Merujuk kepada kawasan lombong Ayer Hitam yang merupakan lombong terbesar di Puchong. Dahulu di sini terdapat banyak penempatan penduduk. Namun pada pertengahan 1980-an, apabila lombong ditutup kawasan ini dikenali sebagai bandar hantu sehinggalah kerajaan negeri membangunkan semula kawasan ini kepada pertumbuhan penempatan baru yang dikenali sebagai Putra Perdana, Danau Putra, Aman Putra dan Nusaputra.
  • Batu 18
    Merujuk kepada kawasan sekitar Kampung Pulau Meranti dan kawasan perumahan baru seperti KiPark Puchong, Taman Meranti Indah dan Desaria Kondominium.

Tuesday 19 February 2013

Video Kayuhan BES Jelajah Selangor 2013

Video kayuhan basikal klasik BES jelajah Selangor 2013 from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Puchong Classic Bicycle Club beserta usaha sama Budiman Berbasikal Klasik dengan rendah dirinya mempersembahkan penghasilan video sempena acara Kayuhan Basikal Klasik "Belia Ehsan Selangor" Jelajah Selangor 2013. Lokasi kayuhan adalah di sekitar Bandar DiRaja Klang. Berlangsung pada hari Ahad, 17 Februari 2013. 

Berbasikal klasik di tepi kolam ikan,
Berehat di wakaf sambil makan bubur,
Selamat menonton diucapkan,
Semoga terpikat dan terhibur.