Sunday 31 March 2013

Laporan Kayuhan Basikal Klasik Ipoh Station

Nama Acara : Kayuhan Basikal Klasik ke Ipoh Station
Anjuran : Puchong Classic Bicycle Club
Tarikh : 30 Mac 2013 (Sabtu)
Lokasi : Puchong Prima dan Bandar Baru Puchong


Seramai enam ahli dan rakan taulan telah menjayakan aktiviti kayuhan basikal klasik pada kali ini. Tujuan kayuhan dilakukan adalah untuk menyaksikan pertunjukan permainan antik yang dianjurkan oleh Ipoh Station Antique Cafe bersempena ulang tahun penubuhannya yang ke lima. Restoran ABC di Puchong Prima menjadi lokasi untuk berkumpul. Jarak perjalanan dari Restoran ABC menuju ke Ipoh Station adalah kurang lebih lapan kilometer pergi balik. Manakala tempoh masa perjalanan dengan kayuhan santai memakan masa sekitar 30 minit sehala. Turut menyertai PCBC dalam aktiviti ini adalah saudara Aznor beserta anaknya adik Azim yang datang dari Cheras. Mereka dikenali oleh para pengayuh basikal klasik dengan kerancakan kayuhan mereka ke KLCC pada waktu malam. 

Kayuhan berkonvoi menuju ke Ipoh Station berjalan dengan selamat dan lancar dengan sesi bergambar dilakukan seketika di perkarangan TESCO sebelum tibanya ke Ipoh Station. Setibanya di Ipoh Station para tetamu dipertontonkan dengan pelbagai gaya dan jenis permainan yang rata-rata berusia antara 70 ke 80an. Pada waktu itu juga kami telah bertemu dengan saudara Ikhwan yang kebetulan berkunjung ke Ipoh Station bersama keluarganya. Setelah menghabiskan masa sekitar sejam lebih di sana maka kami pun berangkat pulang ke lokasi asal berkumpul di ABC Puchong Prima.

Secara keseluruhan, acara kecilan ini telah berjalan dengan baik. PCBC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara terus mahupun secara tidak langsung dalam menjayakan aktiviti kayuhan ini. Ini merupakan aktiviti yang ke dua digiatkan oleh PCBC semenjak ia diwujudkan. Semoga apa yang diusahakan ini akan memberikan persepsi positif terhadap perkembangan aktiviti berbasikal klasik terutamanya di sekitar Puchong.

Singgah perkarangan Tesco untuk sesi gambar.
Deretan pokok rhu bagai suasana di Fraser Hill.
Bergambar dengan aksi kasual.
Mengeteh di Ipoh Station.
Bersama saudara Ikhwan sebelum berangkat pulang.
Gambar aksi kayuhan.



Pergi ke pasar mencari penyapu lidi,
Membeli bersama lesung batu,
Terima kasih daun keladi,
Semoga bersua dilain waktu.

No comments:

Post a Comment